Teknologi Tokyo 2020

Temasya sukan Olimpik merupakan medan manusia beradu tenaga dalam menentukan negara manakah yang mempunyai atlet terbaik di dunia dalam pelbagai acara sukan. Selain menjadi tempat pembuktian manusia terpantas atau lontaran lembing terjauh, temasya ini juga menyaksikan pelbagai teknologi  baharu ditampilkan dalam memberi pengalaman Olimpik yang lebih mendebarkan. Lebih istimewa lagi, Olimpik ke 32 ini dilangsungkan di Tokyo Jepun, sebuah negara yang sinonim dengan teknologi futuristik yang kerap kali mengejutkan dunia. Jadi, jom lihat pelbagai teknologi yang ditampilkan pada temasya ini.

Dron

Dron ‘Shooting Stars’ buatan Intel

Jika anda terpaku dengan persembahan dron pada acara pembukaan Tokyo 2020, semuanya hasil air tangan Intel. Intel Drone Light Show merupakan badan pengiklanan yang menggunakan dron sebagai medium utama. Untuk Tokyo 2020, Intel menggunakan 1,825 armada dron quadcopter yang dipanggil Shooting Star. Berat dron ini hanya 304 gram namun mampu beroperasi dalam angin berkelajuan maksimum 37 km/j. Dron Shooting Star yang digunakan mempunyai 4 LED berbanding hanya 1 LED pada Olimpik 2018.

Obor Hidrogen

Tokyo 2020 mencipta sejarah apabila menjadi yang pertama menggunakan obor Olimpik menggunakan bahan bakar hidrogen. Teknologi ini dibangunkan oleh syarikat minyak dan gas Jepun, Eneos Holding. Seperti mentari, obor Olimpik Tokyo 2020 tidak mencemarkan alam sekitar. Pembakaran hidrogen tidak menghasilkan karbon dioksida, berbeza dengan propana yang digunakan pada temasya sebelum ini. Hidrogen diekstrak di loji Fukushima yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Pengangkutan Autonomi

Atlet yang berada di perkampungan Olimpik bergerak kesana-sini menggunakan bas elektrik tanpa pemandu. Bas e-Palette yang dibangunkan oleh Toyota ini mempunyai pemanduan autonomi tahap 4, yang mana ia mampu memandu tanpa input manusia secara langsung. Toyota mengintegrasikan konsep ‘just-in-time’ yang mana bilangan e-Palette bergantung kepada bilangan penumpang yang menunggu di perhentian bas. Bas e-Palette menggunakan Autonomous Mobility Management System (AMMS) yang dikawal oleh pusat kawalan. Johor dah ada bas macam ni.

3DAT

3DAT, singkatan kepada 3D Athlete Tracking merupakan teknologi yang dibangunkan hasil kerjasama Intel dan Alibaba, khas untuk Olimpik 2020. Menggunakan perisian wrnchAI, mereka mampu mengekstrak pergerakan 3D tanpa menggunakan sut khas yang penuh sensor seperti dulu. Algoritma perisian wrnchAI mampu membaca pergerakan atlet melalui video biasa seperti yang dirakam menggunakan iPhone untuk mengira data seperti kelajuan, pecutan serta sudut badan atlet. Teknologi ini meningkatkan prestasi atlet serta boleh digunakan semasa siaran langsung.

Pin Olimpik Digital

Pin Olimpik Digital dari Alibaba

Tradisi mengumpul dan bertukar-tukar pin Olimpik lama sejarahnya, sejak 1896. Untuk meraikan tradisi ini bersama teknologi, syarikat teknologi Alibaba menghasilkan Alibaba Cloud Pin. Pin ni menggunakan teknologi Bluetooth dan NFC untuk bertukar rekaan pin. Untuk bertukar muka pin, anda hanya perlu rapatkan pin anda dengan pin rakan. Terus dari kotak, pengumpul diberikan 5 dari 33 rekaan muka pin. Anda juga akan mendapat pin digital dengan paparan LCD 1.19″, dok pengecas dan aksesori lain. Baterinya bertahan sekitar 36 jam.

Robot

Penggunaan robot sememangnya sinonim dalam masyarakat Jepun, begitu jugalah dalam temasya Olimpik Tokyo. Toyota telah membangunkan beberapa jenis robot yang mempunyai fungsi spesifik iaitu robot maskot, robot humanoid, robot mobiliti virtual dan robot bantuan padang. Toyota turut bermegah dengan CUE3, sebuah robot yang mampu membuat lontaran percuma sukan bola keranjang dengan ketepatan 100%. CUE3 merupakan pemegang rekod dunia yang berjaya membuat lontaran tepat ke jaring sebanyak 2,020 kali secara berturut-turut. Steph Curry pun kalah.

Penjejak Degupan Jantung Tanpa Sentuh

Teknologi yang membuat debut pada Tokyo 2020 ialah penjejak kadar degupan jantung tanpa sentuh. Teknologi ini digunakan untuk pertama kali dalam acara memanah, menjadikan sukan ini lebih mendebarkan buat penonton di rumah. Empat buah kamera dengan kadar-bingkai (frame-rate) tinggi diletakkan 12 meter di sekeliling atlet. Kamera ini akan mengesan perubahan kecil warna kulit atlet kesan daripada penguncupan saluran darah untuk mendapatkan kadar degupan jantung mereka. Ini baru next level!

Penyiaran Awam

Olympic Broadcasting Services (OBS) telah bekerjasama dengan Alibaba Cloud dalam menyediakan platform penyiaran awan (cloud broadcasting) buat pertama kali dalam sejarah temasya itu. Dengan integrasi ini, OBS mampu menghasilkan 9,500 jam kandungan, 30% lebih banyak berbanding Olimpik Rio 2016. Penyiaran awan juga mengurangkan jumlah staf sebanyak 27% berbanding Olimpik Rio. OBS turut menambah lebih banyak klip pendek rangkuman Tokyo 2020 melalui platform OBS Content+.

Sistem Ulang Tayang 360°

Sistem ini membolehkan penonton merasai pengalaman yang berbeza dengan ulang tayang pelbagai sudut. 60-80 buah kamera 4K berkelajuan tinggi diletakkan di sekeliling gelanggang untuk mendapatkan liputan 360 darjah. Gambar dari kamera 4K tadi akan dicantum supaya ia kelihatan seperti paparan 360 darjah. Pusat kawalan kemudian akan memilih sudut yang sesuai untuk merakamkan aksi yang mana prosesnya hanya mengambil masa 5 saat. Antara sukan yang guna teknik ini ialah bola tampar, BMX dll.

Penjejak Imej 2D

Teknologi ini dibangunkan untuk membantu pengulas sukan serta penonton mengenal pasti dan menjejak atlet melalui skrin tv dalam masa nyata. Berbeza dengan penjejakan GPS, teknologi ini menggunakan algoritma AI untuk mengenal pasti pergerakan objek di skrin.

Intel True View

Teknologi yang dibangunkan oleh Intel ini juga menggunakan banyak kamera yang diletakkan di sekeliling gelanggang (sama seperti sebelumnya). Bezanya ialah Intel True View memproses piksel dalam bentuk 3D berbanding 2D. 35 buah kamera 4K diletakkan di sekeliling Saitama Super Arena di Tokyo. Input dari kamera ini kemudiannya diproses oleh puluhan server dalam arena tersebut. Memandangkan data yang diambil bersaiz besar (terabyte), hanya 10 klip 3D True View dapat diproses untuk satu perlawanan.

Apa korang rasa?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Amirul Hakeem
Amirul Hakeem
Tertarik dengan jargon berkaitan teknologi seperti megapiksel, gigahertz & AMOLED. Meminati semua jenis teknologi daripada telefon pintar, peti sejuk pintar dan seangkatan dengannya. Merupakan kipas susah mati kumpulan K-Pop, TWICE.

Tinggalkan Komen

Tulis komen anda di sini
Tulis nama anda di sini

Dasar Privasi    Syarat Perkhidmatan

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan