Tips Beli iPhone Terpakai (Secondhand/Used)

(Artikel dikemaskini pada 4/12/2021)

iPhone merupakan salah satu telefon pintar jenama buah yang digemari rakyat Malaysia. Ramai pengguna suka menggunakan iPhone atas faktor keselamatan, kualiti dan ekosistem Apple itu sendiri. Namun begitu, harga sesebuah iPhone terutamanya kondisi baru ini agak tinggi dan tidak semua mampu untuk memilikinya. Salah satu cara untuk mendapatkan iPhone dengan harga yang murah adalah dengan membeli set terpakai atau biasa kita dengar sebagai Secondhand atau Used.

Tanggapan sesetengah orang terhadap iPhone terpakai yang mudah rosak, mudah ditipu, komponen tiruan ditukar masih lagi berlegar. Tidak semua iPhone terpakai itu teruk kerana ada sahaja yang masih berada dalam keadaan yang baik jika kita pandai mencari. Dengan membeli iPhone terpakai, anda dapat jimatkan wang dan jual semula dengan kerugian yang tidak terlalu banyak. Jadi, dalam artikel ini akan dikongsikan mengenai beberapa tips yang berguna untuk diguna pakai semasa membeli iPhone Secondhand:

Sebelum Membeli

  1. Tetapkan iPhone pilihan anda. Sebagai contoh, anda ingin membeli iPhone 11 128GB warna putih
  2. Lakukan tinjauan harga iPhone tersebut melalui carian di internet. Dapatkan harga di beberapa platform seperti FB marketplace, Carousell, Mudah dan kedai dalam talian yang boleh dipercayai. Misalnya, iPhone 11 128GB pada masa ini berharga dalam RM1800-2200 (nilai berubah dari semasa ke semasa). Ini bermakna, anda perlu mencari iPhone dalam julat harga yang dinyatakan. Jika harga yang ditawarkan terlalu rendah, kebarangkalian iPhone ada kerosakan dan mempunyai unsur penipuan adalah tinggi.
Hasil carian iPhone 11 128GB di Facebook Marketplace
  1. Lakukan tinjauan kedai fizikal/dalam talian (online) sebelum membeli. Beberapa tips untuk memilih kedai fizikal dan online:
    • Digalakkan beli di kedai fizikal secara Cash On Delivery (COD).
    • Elakkan guna kaedah penghantaran melalui kurier jika anda kurang berpengalaman dan dapat elak ditipu. Kehilangan/Kecurian barang semasa penghantaran juga boleh berlaku.
    • Pilih kedai yang mempunyai maklum balas tertinggi dan cuba lakukan semakan akaun penjual/no telefon tersebut (buat carian akaun/no telefon penjual di Google). Carian nombor akaun bank dan no telefon di laman CCID juga boleh dilakukan. Jika hasil carian menyatakan tiada rekod ini tidak bermakna penjual itu selamat.
    • Elakkan kedai yang menawarkan harga terlalu murah dari harga pasaran dengan alasan yang tidak masuk akal. Contohnya, Kedai X menjual iPhone 11 128GB dengan harga RM700 secara penghantaran tanpa COD. Apabila ditanya mengapa murah, Penjual kedai X mengatakan iPhone tersebut merupakan hasil rampasan kastam dan sebagainya (hmm). Ini semua penipuan belaka.
Laman CCID untuk buat semakan no akaun scammer
  1. Jika anda masih tidak pasti, rujuk dan bertanya kepada orang yang lebih arif mengenai jual beli iPhone Secondhand. Anda juga boleh bertanya kepada Group Pakar seperti di Facebook atau menggunakan “Middleman” yang dipercayai semasa membuat urusan jual beli iPhone.
  2. Tanya penjual mengenai jaminan peranti supaya anda jelas dan faham. Jaminan yang ditawarkan oleh kedai tidak akan meliputi semua komponen, pastikan anda bertanya kepada penjual mengenai komponen yang termasuk dalam jaminan dan proses untuk menukar peranti jika berlaku kerosakan. Kebiasaannya, jaminan diberikan selama 1/3/12 bulan dengan caj tambahan mengikut kedai.

Semasa Membeli

  1. Semakan luaran iPhone. Semak keadaan fizikal iPhone anda agar tiada kerosakan yang melampau sehingga boleh menjejaskan penggunaan. Kecacatan yang kecil (minor) seperti calar/tompok/kemik pada iPhone Secondhand adalah normal. Untuk semakan pantas, gunakan aplikasi TestM di AppStore (rujuk no. 2). Komponen luaran yang perlu disemak:
KomponenUlasan
Skrin Bahagian Hadapan• Tiada kesan calar/retak/pecah yang sangat ketara (major) sehingga boleh menjejaskan penggunaan 
• Tiada tompok kecil/garisan/kerosakan pada skrin ketika dihidupkan seperti dead pixel
• Butang Kuasa
• Butang Tinggikan/Rendahkan Suara
• Butang Silent/Mute
Butang boleh ditekan/diluncurkan dan responsif
Bahagian Sisi• Tiada kesan hirisan/bengkok/kedalaman yang keterlaluan (major) sehingga menjejaskan penggunaan
• Calar halus dan tompok kecil akibat isu kosmetik (minor) adalah normal
Slot SIMTalam SIM boleh dikeluarkan dengan menggunakan pin dan dalam keadaan baik (tidak bengkok)
Port Pengecasan Lightning• Tiada serpihan objek kecil yang menyekat kemasukan port lightning ketika mengecas
• Calar halus di sekeliling port pengecasan adalah normal
• Gril Pembesar Suara Hadapan
• Gril Pembesar Suara Bawah (belah kanan sahaja)
• Tiada serpihan objek kecil yang menyekat lubang pembesar suara untuk mengeluarkan bunyi
• Gril dalam keadaan baik dan tidak mudah dicabut
Panel bahagian belakang: Kaca/Aluminium• Tiada kesan calar/retak/pecah yang sangat ketara (major) sehingga boleh menjejaskan penggunaan
• Calar halus dan tompok kecil akibat isu kosmetik (minor) adalah normal
• Kamera Hadapan (FaceID)
• Kamera Belakang
• Tiada kesan calar/retak/pecah /habuk yang sangat ketara (major) pada cermin kamera sehingga menjejaskan kualiti gambar
  1. Semakan dalaman iPhone. Beberapa perisian boleh digunakan bagi mengesan fungsi komponen dalaman iPhone:
PerisianFungsiPautan
Apple Coverage• Menyemak status ketulenan iPhone dan jaminan rasmi AppleApple My
TestM (manual)• Menyemak komponen luaran dan dalaman iPhone sama ada berfungsi atau sebaliknya
• Memudahkan pengguna untuk menyemak secara menyeluruh dan tertib
Apple Store
Blancco Diagnostics (automatik)• Fungsi sama seperti TestM namun disemak secara automatik (lebih mudah)Apple Store
3uTools• Digunakan untuk menyemak status komponen dalaman iPhone seperti skrin, storan, kamera dan sebagainya
• Mempunyai fungsi lebih kurang seperti iTunes dengan banyak fungsi tambahan yang lain
3u
Telco Lock• Menyemak status telco iPhone sama ada terikat dengan kontrak atau sebaliknya.Shopee
Contoh laporan verifikasi iPhone 6 Plus dari perisian 3uTools
  1. Bagi yang membeli iPhone terpakai melalui online, semak nama akaun penjual dengan nama sosial media mereka (FB, IG, Twitter dll). Jika kedua-duanya berlainan, elak berurusan kerana dikhuatiri scam. Jika penjual menggunakan akaun syarikat, semak seperti ditunjukkan pada tips Sebelum Membeli (no. 3). Jika boleh, elakkan buat pembelian secara online jika ada tidak biasa dan yakin.

Selepas Membeli

  1. Minta resit/invois dari penjual dan simpan sebaiknya. Jika mengalami sebarang kerosakan semasa penggunaan dalam tempoh jaminan, hubungi penjual segera untuk pemeriksaan dan penukaran unit baru jika perlu.
  2. Kebiasaannya, iPhone Secondhand mempunyai pelekat bulat kecil terletak pada skru sebelah port, jangan cabut pelekat tersebut sehingga tempoh jaminan tamat. Pelekat tersebut adalah jaminan untuk iPhone anda.

Itu sahaja perkongsian tips untuk membeli iPhone terpakai dari Tech Lagi. Sentiasa berhati-hati dalam melakukan urusan beli iPhone yang melibatkan jumlah wang yang besar. Buat kajian dan tinjauan secukupnya serta bertanya kepada orang yang lebih mengetahui jika anda masih tidak pasti.

Penafian: Tips ini hanya membantu dalam menerangkan secara dasar sahaja dalam urusan pembelian iPhone terpakai. Tech Lagi tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada pengguna yang masih ditipu dalam proses pembelian akibat kecuaian daripada pengguna sendiri. Pembeli perlu lebih cakna dan membuat kajian menyeluruh sebelum membeli mana-mana iPhone Secondhand agar tidak mudah ditipu dan diperdaya.

Apa korang rasa?
+1
11
+1
2
+1
0
+1
1
+1
0

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan