Hyundai Beri Nafas Baru Kepada Grandeur – Klasik Di Luar Tapi Canggih Di Dalam

Generasi pertama Grandeur merupakan versi penjenamaan semula model Mitsubishi Debonair yang dihasilkan oleh Hyundai pada tahun 1986. Sehingga kini, Grandeur telah berada dalam pasaran kereta lebih 3 dekad. Untuk itu, Syarikat Hyundai Motor menyambut ulang tahun ke-35 bagi model mercu sedan mereka, Grandeur dengan menyuntik elemen fururistik pada model klasik dan menghasilkan Heritage Series Grandeur.

Ukiran ‘grandeur heritage’ pada bahagian sisi atas Grandeur.

Kepada penggemar kereta klasik, Heritage Series Grandeur ini pasti akan menarik perhatian anda dengan mengekalkan rekaan retro di luar namun menerima kemas kini yang padu seperti pada cermin sisi, tayar, pelapik sisi, lampu hadapan dan belakang LED dengan gaya susunan pixel.

Tidak berhenti di situ, dalaman Grandeur ini diberi sentuhan moden disaluti dengan baldu Burgundy dan kulit Napa yang diinspirasikan dari Grandeur Klasik. Pada bahagian alas tangan yang terletak di konsol tengah pula mengandungi ruang tersembunyi yang boleh menyimpan barang berharga seperti jam tangan dan rokok cerut. Sungguh mengagumkan!

Bercakap mengenai teknologi pula, terdapat paparan skrin ultra-lebar boleh sentuh menggantikan dail dan butang pada papan pemuka. Stering pula masih mengekalkan rekaan klasik dengan bahagian tombol gear seakan pesawat jet.

Tidak lengkaplah sesebuah kereta tanpa sistem audio. Ya, Heritage Series Grandeur ini dilengkapi dengan sistem audio 4 hala yang dibangunkan oleh Guk-il, pereka bunyi Korea Selatan. Sebanyak 18 pembesar suara yang diletakkan dalam kereta ini cukup membuatkan kepala anda bergetar.

Konsep ‘Infinity Mirrors’ memberi ilusi ruang yang luas ke atas

Pancaran cahaya gangsa menghiasi dalaman kereta ini bermula dari hujung papan pemuka dan meliputi sekeliling kabin memberikan pengalaman mewah. Pandang ke atas dan anda semestinya kagum melihat rekaan ‘Infinity Mirrors’ yang diinspirasikan dari salun mewah pada era pertengahan 80-an.

Kebiasaanya rekaan kereta elektrik zaman sekarang mempunyai rekaan futuristik dan unik, namun berbeza pula pendekatan yang diambil oleh Hyundai bagi Heritage Series Grandeur ini. Adakah anda berminat dengan rekaan seperti ini?

Reaksi anda terhadap artikel ini?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
Sumber :Hyundai

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan