Pengguna Apple Dibenarkan Beli Alat Ganti Tulen Melalui Self Service Repair Kelak

Apple sememangnya tegas dalam hal pembakian peranti terutamanya melalui pihak ketiga. Mana tidaknya, pengguna Apple perlu menghantar peranti yang rosak ke kedai yang diiktiraf seperti Apple Authorized Service Provider (AASP) dengan bayaran yang mahal. Sebelum ini, Apple bertindak dengan menyekat beberapa fungsi seperti status kesihatan bateri dan fungsi FaceID jika menggunakan komponen dari pihak ketiga.

Contoh AASP di Malaysia – Switch

Namun begitu, ceritanya pula berbeza pada hari ini apabila Apple umumkan Self Service Repair di mana alat ganti dan panduan boleh dibeli oleh pelanggan Apple bermula pada awal tahun 2022. Menurut Apple, servis ini membenarkan pelanggan yang selesa untuk membaiki sendiri peranti untuk membeli alat ganti tulen dari laman Apple seperti bateri, skrin dan kamera iPhone. Alat ganti yang bakal dijual bermula dengan siri iPhone 12 dan 13 serta diikuti dengan Mac yang menggunakan Cip M1.

Pembukaan akses yang lebih besar kepada alat ganti tulen Apple memberikan pelanggan kami lebih banyak pilihan jika pembaikan diperlukan. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, Apple telah menggandakan bilangan lokasi perkhidmatan dengan akses kepada alat ganti dan latihan, dan kini kami menyediakan pilihan untuk mereka yang ingin menyelesaikan pembaikan peranti secara kendiri. – Jeff Williams, Apple COO

Pelanggan yang ingin melalukan pembakian peranti Apple digalakkan untuk meneliti manual pembakian dan membuat pesanan alat ganti melalui Apple Self Service Repair Online Store. Tambahan lagi, pelanggan yang mengitar semula komponen terpakai akan mendapat kredit untuk pembelian seterusnya.

Apple juga mengatakan bahawa servis ini ditujukan untuk juruteknik individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam membaiki peranti elektronik. Kepada kebanyakan pengguna biasa, anda digalakkan untuk menghantar peranti Apple ke AASP yang terdekat.

Servis yang bakal ditawarkan Apple ini merupakan satu langkah yang besar buat komuniti pembakian yang sekian lama memperjuangkan #HakUntukBaiki atau #RightToRepair. Sama-sama kita nantikan bagaimana servis ini dikendalikan oleh Apple pada tahun hadapan.

Reaksi anda terhadap artikel ini?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
Sumber :Apple

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan