Ulasan DJI Osmo Action 4 – Pesaing GoPro Yang Perlu Diberi Perhatian

DJI telah memperkenalkan produk baharunya dalam barisan kamera aksi iaitu DJI Osmo Action 4. Ia merupakan sebuah kamera aksi kompak yang menerima naik taraf dari generasi sebelumnya.

Pasaran kamera aksi ini telah didominasi oleh GoPro sekian lamanya, namun kehadiran DJI Osmo Action ini semestinya perlu diberi perhatian kerana spesifikasi dan harga yang ditawarkan agak berbeza berbanding dengan jenama lain.

Spesifikasi

AspekSpesifikasi
Sensor/lensa1/1.3-inci CMOS, f/2.8
Resolusi10MP, 155° medan penglihatan, 4K/120fps (biasa+slo-mo)
SkrinDwi-skrin sesentuh bewarna; depan 1.4″, belakang 2.25″
Bateri & Pengecasan1770 mAh (160min), Pengecas DJI 30W , Menyokong PD
Kalis air18m (tanpa bekas), 60m (dengan bekas)
StoranMenyokong kad SD sehingga 512GB
PenstabilanEIS; RockSteady 3.0, RockSteady 3.0+, HorizonBalancing, HorizonSteady
Fitur lainKlip pencagak magnetik, warna 10bit D-log, sokongan webcam

Reka Bentuk

Sama seperti generasi sebelumnya, DJI Osmo Action 4 masih mengekalkan rekaan berkotak warna hitam dengan tekstur sedikit kasar. Terdapat 2 butang yang terletak di bahagian atas (butang shutter) dan kanan (butang QuickShot+kuasa) kamera.

Lensa pada DJI Osmo Action 4 ini agak menonjol dan sebenarnya boleh dibuka dan digantikan dengan lensa yang lain. Ada 2 skrin sesentuh pada bahagian depan dan belakang kamera ini.

Pada bahagian kiri dan kanan pula terletaknya port pelindung di mana bahagian kanan menempatkan bateri dan kad mikro SD serta kiri pula bahagian port pengecas. Bahagian bawah kamera ini ada klip pencagak magnetik (magnetic mounting clip).

Beralih ke bahagian depan semula, tulisan ACTION 4 pada bahagian bawah lensa ini sebenarnya ada tersorok sensor warna yang disembunyikan dalam tulisan ‘O’. Kreatif kan?

Skrin dan Pengalaman Pengguna

Kita mulakan dengan ciri yang saya suka pada DJI Osmo Action 4 ini; dwi-skirn sesentuh. Kehadiran dwi-skrin sesentuh ni sebenarnya beri banyak kelebihan untuk melakukan vlog dan swafoto.

Dipadankan pula dengan antaramuka pengguna yang sangat mudah, saya ambil masa dalam beberapa minit sahaja untuk membiasakan diri membuat navigasi ke tetapan dalam kamera ini.

Skrin sesentuh pada DJI Osmo Action 4 ini banyak menggunakan gestur tatalan dari atas, bawah, kiri dan kanan. Misalnya, tatal ke bawah skrin untuk pergi ke bahagian Menu yang mempunya bahagian tetapan kecerahan, kunci skrin dan sebagainya.

Selain itu, ada juga fungsi lain seperti Voice Command di mana anda hanya meggunakan suara untuk menangkap gambar, tetapi saya lebih gemar menggunakan fungsi timer berbanding Voice Command.

Kualiti Gambar dan Video

Antara naik taraf terbesar pada DJI OSMO Action 4 terletak pada sensor kameranya yang menggunakan sensor 1/1.3″ untuk imej yang lebih berkualiti dalam pencahayaan rendah.

Adakah kehadiran sensor besar ini mampu menghasilkan gambar dan video yang cantik?

Gambar

Melalui penggunaan kami selama seminggu, hasil gambar yang dihasilkan agak baik tetapi tidaklah sempurna. Julat dinamik yang dihasilkan melalui gambar juga agak baik.

Contoh gambar yang saya ambil di hadapan KLCC pada waktu petang ini menunjukkan tekstur awan dan warna langit masih dapat dilihat walaupun cuaca agak terang. Struktur bangunan juga jelas kelihatan dengan warna yang dihasilkan agak menonjol dan lembut.

Baik, untuk gambar dalam suasa yang gelap pula, DJI OSMO Action 4 ini masih mampu menghasilkan gambar yang cantik walaupun ada beberapa situasi yang menampakkan kamera ini bekerja keras untuk menghasilkan imej yang tajam dan tepat.

Gambar-gambar di atas ini diambil dari dalam Aquaria KLCC dalam pencahayaan yang agak suram. Hasilnya boleh dikatakan memuaskan terutamanya dari segi warna yang dihasilkan.

Video

Beralih kepada video pula, di sinilah terletaknya kekuatan DJI OSMO Action 4. Kualiti video yang dihasilkan secara keseluruhannya memang baik.

Video yang dihasilkan tidak terlalu over-exposed, warnanya pula menonjol dan cantik serta julat dinamik yang memuaskan.

Dipadankan dengan fitur RockSteady 3.0 ini sememangnya menjadikan video tu kurang gegaran apabila melakukan aktiviti lasak yang memerlukan banyak pergerakan.

Korang boleh nilaikan sendiri kualiti video yang dihasilkan dari DJI OSMO Action 4 melalui video di bawah ini. Kesemua video yang dirakam ini menggunakan resolusi sekurang-kurangnya 4K/30fps dengan tetapan RockSteady 3.0

Oh ya, kamera ini juga ada ciri kalis air sedalam 18m jadi bila nak buat aktiviti air tu memang mudah, tak perlu guna bekas kalis air.

DJI OSMO Action 4 mempunyai fungsi penstabilan berasaskan EIS. Antara fitur penstabilan yang ada termasuklah Rocksteady 3.0/3.0+, HorizonSteady dan HorizonBalancing.

Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan fitur RockSteady 3.0, gegeran dalam video dikurangkan ke tahap paling minimal. Cumanya jika guna RockSteady 3.0+, saya perasan yang video akan lebih dipotong untuk mendapatkan hasil yang lebih baik (kurang digunakan).

Audio

DJI OSMO Action 4 hadir dengan 3 mikrofon terbina. Audio yang dihasilkan dari mikrofon kamera ini jelas dan tidak terlalu mendap. Saya agak berpuas hati bila dengar semula audio ketika main semula video.

Cumanya jika guna kamera ini dalam air, lubang mikrofon itu perli dikeringkan atau dikeluarkan terlebih dahulu agar dapat hasilkan bunyi yang baik.

Bateri dan Pengecasan

Jika diiukutkan dari laman web DJI, mereka menyatakan DJI OSMO Action 4 mampu bertahan sehingga 12 jam. Secara realitinya, dengan ujian dunia sebenar yang saya lakukan mendapati baterinya bertahan dalam seharian (lebih kurang 8 jam).

Jangka hayat bateri ini juga dipengaruhi oleh faktor seperti cara penggunaan, resolusi yang digunakan, suhu sekitar kawasan rakaman dan lain-lain. Bagi saya, baterinya yang tahan dalam tempoh seharian itu agak munasabah.

Apa yang saya perasan ketika melakukan rakaman (beresolusi 4K/60fps) dengan kamera ini ada menghasilkan haba, namun ianya tidak terlalu ketara. Haba dapat dikurangkan jika saya rakam dalam persekitaran yang berangin dan sejuk.

Dari segi pengecasan pula, melalui buku manual DJI OSMO Action 4, pengecas DJI 30W atau mana-mana pengecas yang mempunyai sokongan Power Delivery (PD) boleh digunakan untuk mengecas kamera ini.

DJI OSMO Action 4 juga turut menyokong pengecasan pantas di mana masa yang diambil lebih kurang 30 minit untuk mencapai tahap bateri 80% (menggunakan pengecas 30W PD).

Fitur-fitur Lain

Antara fitur menarik yang ada pada DJI OSMO Action 4:

  • Klip Pencagak Magentik (Magnetic Mounting Clip): Sistem sabungan yang diperkenalkan oleh DJI ini sememangnya memudahkan kerja sambungan ke aksesori dan menukar kedudukan kamera dari mod landskap ke potrait.
  • 10-bit D-log Colour: Ciri ini sesuai untuk pencipta kandungan profesional atau biasa yang ingin menyunting video menjadikan warna dan julat dinamiknya lebih menarik.
  • 360 HorizonSteady: Fitur ni akan mengunci orientasi/kedudukan rakaman anda, jadi kalau anda melakukan aktiviti lasak yang ada banyak pergerakan yang memusingkan kamera, orientasi rakaman tetap akan kekal sama.
  • Sokongan webcam: Kamera aksi ini juga boleh dijadikan sebagai webcam dengan membuat sambungan kabel ke laptop/komputer anda.

Harga Jualan

DJI Osmo Action 4 ini telah mula dijual di Malaysia dengan harga bermula dari RM1,899 untuk Kombo Standard. Kamera aksi ini boleh didapati di kedai rasmi DJI atau laman e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

Jika korang berminat, boleh dapatkannya melalui pautan ini:

Shopee: https://shope.ee/9eti6YZkQt

Lazada: https://bit.ly/3Md7m16

Jadi, apa pendapat korang dengan DJI Osmo Action 4 ni? Adakah ianya berbaloi untuk dimiliki dengan spesifikasi dan harga yang ditawarkan? Kongsi pendapat anda melalui ruang komen di bawah…

Reaksi anda terhadap artikel ini?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Tinggalkan Komen

Tulis komen anda di sini
Tulis nama anda di sini

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan