XMOWI R1 – Fon Telinga Bajet Terbaharu Dari Plextone

Kepada kaki Shopping Online di Shopee dan Lazada, pasti pernah dengar jenama Plextone, sebuah jenama yang menawarkan peranti audio berkonsepkan gaming seperti fon telinga dengan harga yang mampu milik. 

Antara produk Plextone yang terkenal adalah seperti fon telinga G20 Mark III dan RX3 yang laris dijual di Shopee. Jenama ini terkenal kerana harga yang ditawarkan murah dengan kualiti yang agak baik. Aku sendiri pernah gunakan fon telinga G15 dari Plextone dan secara keseluruhannya, bunyi yang dihasilkan dengan kualiti mikrofonnya agak memuaskan tetapi bukanlah yang terbaik. Dengan harga RM30 sahaja, memang tak boleh mengadu banyak, spesifikasi kena dengan harganya.

Baik, berbalik kepada XMOWI R1, fon kepala ini merupakan sub jenama jenama dari Plextone dengan beberapa fitur menarik dan harga yang murah untuk kegunaan media mahupun gaming.

Reka Bentuk

Rekaannya ringkas sahaja, diperbuat daripada plastik yang tidak terlalu padu dengan kemasan yang memuaskan serta beratnya ringan sahaja. Apa yang aku suka dengan rekaan R1 ini adalah kerana minimal dan tidak terlalu garang. Fon telinga ini dilengkapi dengan mikrofon yang bersifat flexsibel dengan panjang 120mm.

Pada bahagian pad telinga dan kepala pula ada span yang disaluti dengan kulit PU. Sejujurnya, span pada pad telinga dan kepala ini agak keras dan kurang selesa untuk digunakan dalam masa yang lama. Cengkaman fon telinga ini pula agak kuat, jadi bila pakai di kepala tidaklah mudah tercabut.

Wayar yang disediakan agak panjang dan hujungnya berpecah kepada tiga bahagian – jack fon kepala, jack mikrofon dan USB-A untuk RGB. Ya, fon kepala ini dilengkapi dengan RGB namun tidak boleh dikawal dan warna yang dihasilkan pula hanya statik sahaja. Lebih baik ada daripada tiada kan? Kalau korang tak gemar dengan RGB, korang boleh cucuk jack fon kepala dan mikrofon sahaja, tanpa USB-A dan ia masih berfungsi dengan baik.

Spesifikasi

Berikut merupakan spesifikasi XMOWI R1 yang dinyatakan pada kotak:

  • Rekaan Lampu RGB (USB-A pada PC)
  • Mikrofon bersifart fleksibel dengan panjang 120mm
  • Tahap fon kepala boleh laras
  • Pembesar suara bersaiz 50mm
  • Panjang wayar 2000mm dengan 3 sambungan – jack audio, jack mikrofon dan USB-A

Dalam kotak:

  • Fon kepala XMOWI R1 x1
  • Manual x1
  • Kad Jaminan x1
  • Pembungkus Gelembung x1

Kualiti Bunyi

Bunyi yang dihasilkan melalui XMOWI R1 ini boleh dikatakan sederhana sahaja. Kejelasan dan bes yang dihasilkan juga tidaklah yang terbaik dan bukanlah yang terburuk. Kiranya boleh diterima untuk kegunaan gaming dan media. Dengan harga RM32, korang akan dapat setanding dengan apa yang korang bayar.

Kalau korang ada guna fon kepala jenama Plextone, profil bunyi yang dihasilkan agak sama. Aku sudah cuba bermain permainan Genshin Impact menggunakan fon kepala ini. Bunyi dentuman sewaktu berlawan dengan Geo Hypostasis agak biasa sahaja dengan bes yang minima dan kejelasan yang baik-baik sahaja.

Oh ya, biasanya bila kita pakai fon kepala jenis closed-back, akan ada sedikit kedapan bunyi tetapi untuk R1 ini tiada langsung. Korang masih boleh dengar bunyi persekitaran melainkan korang main permainan dengan kelantangan suara yang maksimum.

Kualiti Mikrofon

Bagi kualiti mikrofon pula, aku dah cuba gunakan bersama Discord dah hasilnya agak memuaskan. Suara yang dihasilkan melalui mikrofon ini tidaklah terlalu kabur dan tidaklah juga terlalu jelas, berada di tengah-tengah. Kejelasan suara yang dihasilkan boleh difahami dengan baik. Kalau korang main permainan bersama kawan menggunakan fon kepala ini, memang tiada masalah.

Dekat kotak ada dinyatakan bahawa mikrofon ini dilengkapi dengan fungsi pembatalan hingar. Setelah aku cuba, memang ada fungsi ini cumanya tidak terlalu ketara dan boleh menyisihkan bunyi latar yang tidak terlalu kuat seperti kipas dan burung berkicauan pada pagi hari.

Ini merupakan contoh rakaman suara menggunakan mikrofon XMOWI R1 yang dirakam melalui perisian OBS.

Sample rakaman suara mengunakan mikorofon XMOWI R1

Pengalaman Penggunaan

Dari segi keselesaaan, sejujurnya ia kurang selesa untuk dipakai dalam masa yang lama. Ini kerana span yang ditempatkan pada pad telinga itu agak keras dan panas jika duduk di suhu bilik biasa.

Dari segi kegunaan semasa bermain pula, aku boleh simpulkan bahawa semuanya sederhana sahaja. Bunyi yang dihasilkan tidak terlalu buruk dan suara masih boleh didengar dengan jelas.

Kesimpulan

Untuk fon kepala yang berharga RM32 ini, aku boleh katakan yang kualiti binaan, bunyi, dan mikrofon dihasilkan agak memuaskan. Ini kerana, aku pernah jumpa fon kepala yang lebih teruk lagi daripada XMOWI R1 ini pada harga yang lebih kurang sama. Tambahan pula, fon kepala ini dilengkapi dengan RGB yang boleh mewarnai pengalaman semasa bermain.

Tidak adil untuk letakkan harapan yang terlalu tinggi memandangkan harga yang ditawarkan pula mesra poket. Aku boleh simpulkan yang XMOWI R1 ini sesuai untuk gaming dan media bagi mereka yang mempunyai bajet rendah.

Bagi yang berminat dengan XMOWI R1, boleh dapatkan di [Shopee] pada harga RM29.90 sahaja.

Apa korang rasa?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Tinggalkan Komen

Tulis komen anda di sini
Tulis nama anda di sini

Dasar Privasi    Syarat Perkhidmatan

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan