Ulasan Xiaomi Smart Air Purifier 4 – Kenapa Ia Berbaloi Untuk Dimiliki?

Belakangan ini, terdapat banyak air purifier (pembersih udara) yang dijual di pasaran. Pilihan yang ada terlalu banyak sehingga menyukarkan kita untuk membuat keputusan dalam membeli pembersih udara yang berkualiti dengan harga berpatutan.

Sebelum itu, mungkin ada yang masih belum tahu fungsi sebenar pembersih udara. Ia berfungsi untuk memerangkap habuk dan membersihkan udara. Alat ini sebenarnya baik untuk seseorang yang mempunyai alergi atau rinitis terhadap habuk.

Berbeza pula dengan pelembap udara (air humidifier), ia pula berfungsi dengan menambahkan kelembapan pada udara di mana baik untuk seseorang yang mengalami masalah simptom penafasan atau kulit kering.

Kami telah diberi peluang menggunakan Xiaomi Smart Air Purifier 4 (XSAP4) selama beberapa minggu dan ini ulasan jujur kami mengenai XSAP 4.

Reka Bentuk

Xiaomi Smart Air Purifier 4 (XSAP4) ini berbentuk kuboid dengan anggaran ukuran tingginya 1.8 kaki dan lebar 0.8 kaki. Pembersih udara ini pun agak berat juga iaitu dalam 5.6kg.

Bahagian depan pula mempunyai paparan OLED berbentuk bulat yang memaparkan tahap kebersihan udara dengan butang kapasitif untuk kuasa dan tetapan. Di bahagian sisi XSAP4 ini mempunyai lubang untuk kemasukan udara dan belakangnya pula ada sensor laser partikel dan butang kecerahan.

Seterusnya, mari kita lihat ciri-ciri menarik ada pada XSAP 4 yang menjadikan ia sebuah pembersih udara yang berbaloi untuk dimiliki.

5 Ciri-Ciri Menarik

1. Penapis 3 dalam 1

XSAP4 ini menggunakan penapis berbentuk dram dengan kemampuan menapis partikel sekecil 0.3um dan dikatakan berkesan untuk menapis bulu binatang, polen, habuk, bau rokok, dan lain-lain.

Kenapa 3 dalam 1? Penapis ini boleh menghilangkan bau dan menyegarkan udara dalam masa yang sama dengan penggunaan karbon aktif yang berkualiti tinggi. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ion negatif yang mampu memerangkap habuk dan menjadikan udara lebih bersih dan segar.

Untuk pengetahuan korang, Xiaomi menggunakan penapis buatan sendiri yang dikatakan lebih efisien, senyap dan kurang penggunaan berbanding penapis HEPA yang biasa ada di pasaran. Penapis yang disediakan ini mampu bertahan dari 6 ke 12 bulan mengikut kepada penggunaan dan keadaan bilik.

2. Mudah Diselenggara

Apa yang syoknya mengenai pembersih udara Xiaomi ini adalah korang boleh tukarkan dan bersihkan sendiri penapis tanpa perlu memanggil pekerja untuk servis.

Bahagian belakang pembersih udara ini mempunyai panel belakang magnetik yang senang dicabut dan dram penapis pula boleh diganti dengan mudah.

Untuk bersihkan bahagian aliran udara keluar, korang hanya perlukan pemutar skru philip untuk buka bahagian atas. Gunakan kain lembab untuk bersihkan habuk di dalamnya.

Sepanjang penggunaan XSAP 4 ini, proses untuk membersihkan bahagian dalam dan menukar penapis ini sangat mudah dan cepat.

3. Sambungan Aplikasi

Antara fitur yang paling menarik adalah ia boleh disambungkan dengan aplikasiMi Home App untuk platform Android dan iOS. Dengan menggunakan aplikasi ini, banyak fungsi lain boleh diakses seperti mod kawalan dan kelajuan kipas, tetapan masa untuk buka dan tutup, baki jangka hayat penapis dan banyak lagi.

Kalau tak guna aplikasi ini pun, air purifier ini masih boleh digunakan namun fungsinya sedikit terhad dengan hanya boleh buka/tutup dan pilih mod kelajuan kipas.

Yang paling best sekali, korang boleh jadikan telefon pintar sebagai alat kawalan jauh dan kawal/pantau air purifier ini dari jauh walaupun korang berada di luar kerana bersambung dengan WiFi.

Jadinya nak kawal pembersih udara ini untuk buka/tutup, tetapkan kelajuan kipas dan sebagainya boleh dilakukan terus dari aplikasi. Sangat mudah!

4. Paparan OLED

Salah satu fungsi yang berguna bagi kami adalah paparan OLED yang memaparkan informasi penting. Di sini, ia memaparkan secara langsung bacaan PM2.5 yang mempunyai indikator tahap kebersihan udara; hijau bermaksud udara bersih dan merah pula tercemar.

Selain daripada itu, suhu bilik dan tahap kelembapan juga turut dipaparkan dalam paparan OLED ini.

Jika korang tak menggunakan aplikasi, pembersih udara ini mampu dikawal dengan butang kapasitif yang mampu buka/tutup serta tukar mod kawalan sahaja.

Bagi kami, paparan OLED yang disediakan ini agak berguna dan membantu dalam beri informasi penting mengenai keadaan bilik.

5. CADR Tinggi, Ruang Lebih Besar

CADR – Clean Air Delivery Rate ini atau dalam bahasa malaysia; Kadar Penghantaran Udara Bersih merujuk kepada kecekapan penapisan di mana berapa laju pembersih udara ini mampu untuk menapis udara pada keluasan tertentu. 

Jadinya, lebih tinggi CADR, lebih laju udara kotor dapat ditapis oleh pembersih udara ini. Namun ianya tertakluk juga kepada isipadu ruang bilik

Sebagai contoh, sebuah pembersih udara itu mempunyai CADR 400m3/jam ini mampu membersihkan udara lebih laju di bilik yang mempunyai keluasan 20 meter persegi berbanding pembersih udara dengan CDR 200 m3/jam.

Untuk XSAP 4 ini, ia mempunyai kadar CDR 400m3/jam dan mampu membersihkan udara dalam bilik yang berkeluasan 20 meter persegi dalam masa 10 minit.

Xiaomi turut mengatakan yang pembersih udara ini sesuai untuk diletakkan pada bilik yang berkeluasan 28-48 meter persegi.

Penggunaan

Sepanjang penggunaan kami dalam beberapa minggu, secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa Xiaomi Smart Air Purifier 4 (XSAP 4) ini agak baik dari segi keberkesanannya.

Kami dapat rasa sedikit perubahan apabila menggunakan pembersih udara ini. Salah sorang daripada kami mengalami masalah resdung dan sensitif terhadap habuk. Sewaktu menggunakan pembersih udara ini, rasa gatal hidung pada waktu pagi terutamanya selepas bangun semakin berkurangan.Walaubagaimanapun, perbezaannya apabila ada dan tiada alat ini tidaklah begitu ketara.

Pembersih udara ini juga amat membantu sewaktu kami membersihkan bilik seperti menyapu lantai, mengelap bilah kipas dan lain-lain. Ia menapis habuk-habuk kecil yang berterbangan dan boleh dikatakan rasa gatal hidung dan bersin sewaktu mengemas itu berkurangan.

Bercakap mengenai bunyi kipas yang dihasilkan pula, sejujurnya bunyi kipas yang dihasilkan sedikit bising jika kelajuan kipas ditetapkan pada maksimum (tahap 3). Namun begitu, Xiaomi turut menyediakan mod tidur di mana bunyi kipas diperlahankan. Kami pernah meletakkan XSAP 4 ini betul-betul di tepi katil dan masih dapat tidur dengan nyenyak menggunakan mod tidur.

Harga

Harga yang ditawarkan secara rasmi di Malaysia adalah sebanyak RM799 sahaja. Jika dilihat pada harganya terus memang nampak mahal, namun perlu diingat yang XSAP 4 ini hanya perlu dibayar sekali dan tiada bayaran bulanan (langganan) seperti jenama lain.

Bagi kos penyelenggaraan pula, penapis pembersih udara ini perlu diganti setiap tahun (bergantung pada penggunaan) dan hanya berharga dalam lingkungan RM100. Penapis gantian ini pula mudah dicari kerana kebanyakannya dijual di Shopee dan Lazada.

Pada hemat kami, harga yang ditawarkan untuk Xiaomi Smart Air Purifier 4 bersama penapis gantiannya amat berbaloi. Jika harganya dibahagikan kepada setahun, korang hanya perlu membelanjakan dalam RM70 sebulan. Manakala penapisnya pula hanya RM10 sebulan.

Kesimpulan

Tuntasnya, apa yang kami boleh simpulkan adalah Xiaomi Smart Air Purifier 4 ini berbaloi untuk dimiliki kerana harga yang ditawarkan berpatutan bersama ciri-ciri yang disertakan agak canggih.

Namun begitu ada sedikit kekurangan seperti tiada pemegang untuk alihkan pembersih udara ini dan wayar kuasa yang pendek.

Jika anda berminat dengan produk dalam artikel ini, boleh beli di sini:


Pautan Xiaomi Smart Air Purifier 4 : [Shopee] / [Lazada]
Pautan penapis Xiaomi Smart Air Purifier 4 : [Shopee] / [Lazada]

Apa korang rasa?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Tinggalkan Komen

Tulis komen anda di sini
Tulis nama anda di sini

Dasar Privasi    Syarat Perkhidmatan

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan