Xiaomi tidak asing lagi dalam menghasilkan fon telingan nirwayar (TWS) yang mempunyai tanda harga yang murah dan mampu dibeli oleh ramai lapisan masyarakat. Disebabkan itulah Mi AirDots ini terkenal dan mempunyai peminat yang ramai. Persoalannya, adakah ia berbaloi dibeli? Mari baca ulasan ringkas mengenai Mi AirDots.
Nyahkotak
Bila anda buka sahaja kotak, anda diberi bekas simpanan dan fon telinga, sepasang getah silikon tambahan dengan pelbagai saiz serta manual pengguna. Pengalaman nyahkotak AirDots ini biasa sahaja dan aksesori yang diberikan ini lebih kurang sama seperti yang diberi oleh pengeluar lain.
Rekaan
Tipikal Xiaomi, produk ini mempunyai rekaan minimal. Kemasan matte black pada bekas penyimpan ini menaikkan rasa premium apabila dilihat dan dipegang. Ianya ringan, kecil dan tidak membebankan untuk disimpan dalam poket. Fon telinga berbentuk pil dan tidak terlalu menonjol ketika dipakai. Ketika dipakai, AirDots ini boleh dikatakan agak selesa dan tidak mudah tercabut apabila adanya pergerakan kepala. Namun, ini bergantung kepada individu itu sendiri.
Praktikaliti
Cara penggunaan taklah terlalu leceh. Anda hanya perlu keluarkan AirDots dari bekas dan ia akan hidup secara automatik. Belah kiri akan bersambung dengan kanan secara automatik. Hanya belah kanan sahaja yang sambung dengan telefon. Anda hanya perlukan sekitar 5 saat untuk sambungkan AirDots dengan telefon. Untuk matikan AirDots, anda perlu letakkan belah kanan kedalam bekas dan kedua dua belah akan berhenti. Kalau anda simpan belah kiri, belah kanan masih lagi berbunyi.
Kawalan yang boleh dilakukan melalui butang pada AirDots ialah:
- Tekan sekali – henti/main lagu
- Tekan 2 kali – seru Google Assisstant/pembantu maya
Kualiti Sambungan
Kualiti sambungan Bluetooth antara belah kiri dan kanan bagus, tapi masalah sambungan mungkin berlaku (jarang sekali) iaitu pada belah kiri terputus. Lepas anda lakukan reset, semuanya akan kembali seperti normal. Untuk kaedah reset, anda boleh ikuti langkah dari laman Reddit:
Kualiti Bunyi
Fon telinga ini mempunyai kualiti bunyi yang baik untuk harganya. Bunyi lebih kearah bass, sesuai untuk sesetengah genre lagu dan penggemar bass pasti puas hati. Namun, high-nya agak tajam. Frekuensi mid-nya (suara manusia) jelas. Saya telah uji AirDots ini dengan lagu Electricity – 2PM, bunyi pada bahagian 12 saat pertama tu lebih baik pada JBL CS100SI berbanding AirDots. Untuk kualiti bunyi keseluruhan, saya rasa JBL lebih kemas berbanding AirDots. Ini pendapat peribadi sahaja ya.
Lows - Bahagian di mana frekuensi rendah di dalam lagu seperti bass dan sub
Mids - Bahagian di mana terletaknya frekuensi sederhana. Dalam EDM, bahagian ini kebanyakannya digunakan dalam synths dan vokal
High - Mengandungi frekuensi tinggi seperti shakers, rides, hats, keys dan sebagainya.
Kelantangan bunyi AirDots ni memang kuat. Berbanding JBL CS100SI, bunyi AirDots lebih kuat berbanding JBL utk paras bunyi yang sama. Keseluruhan, bunyi dari Mi AirDots ni baik dan sesuai untuk penggemar dentuman bass, cuma high-nya sedikit berlebihan, tapi masih boleh diterima. Bagi video pula, audio dan video selari. Saya uji dengan YouTube dan MX Player. Jadi, tiada masalah suara keluar lambat dari gambar. AirDots lulus ujian audio-video.
Bateri
Bateri pada AirDots sangat baik. Ia mampu bertahan selama lebih kurang 4 jam dari 100% pada kelantangan sederhana. Dengan bantuan bekas simpanan, masa mendengar menjadi sekitar 12 jam. Pengecasan mengambil masa sekitar 2 jam untuk 100%.
Senaman
Ramai juga yang suka mendengar lagu semasa bersenam. Saya dah cuba menggunakan AirDots semasa jogging, main gym dan skipping. Ia tersemat kemas dalam telinga dan tidak longgar semasa bersenam. Ia juga kalis percikan air. Bagus ya amat!
Beli atau Tidak?
Jika anda inginkan kebebasan fon telinga nirwayar serta kualiti bunyi yang baik, sila beli. Harganya yang murah menjadikan AirDots fon telinga tanpa wayar yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Harga yang dibeli ketika artikel ini ditulis adalah RM69 sahaja.
Tambahan
Jika anda ingin beli Xiaomi AirDots dan terlihat namanya berbeza iaitu Mi AirDots dan Redmi AirDots, ia sememangnya berbeza dari segi warna, butang kawalan, harga dan beberapa fungsi lain. Lihat perbezaanya pada jadual di bawah ini:
Mi AirDots | Redmi AirDots |
---|---|
Warna: Putih | Warna: Beberapa warna lain |
Kawalan secara sentuh | Kawalan menggunakan butang fizikal |
Codec Audio SBC | Codec Audio AAC |
Terima kasih kepada pengguna Twitter @biiruni atas informasi mengenai perbandingan ini.