Kembara 5G Tech Lagi Di Malaysia – Berdesup Perginya!

Setelah hampir 3 tahun dalam pembangunan, teknologi 5G akhirnya mendarat di Malaysia. Digital Nasional Berhad (DNB) merupakan syarikat yang bertanggunggjawab dalam membangunkan rangkaian 5G dan pada masa ini, DNB telah pun melaksanakan kajian rintis di beberapa kawasan utama iaitu Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Untuk kembara 5G pada kali ini, kami menggunakan peranti Xiaomi 11T yang disediakan oleh Xiaomi Malaysia bersama pelan YES FT5G.

Struktur 5G di Malaysia

Teknologi 5G ini dikelolakan oleh DNB yang dibangunkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Secara ringkasnya, fungsi DNB ini adalah untuk mempercepatkan pembangunan 5G dengan menyewakan spektrum 5G di Malaysia kepada syarikat telko yang lain seperti Maxis, Celcom, Digi dan lain-lain.

Gambar: Digital Nasional Berhad

Disebabkan syarikat telko yang lain ini menerima sumber 5G yang sama dari DNB, secara teorinya, kelajuan 5G yang dibekalkan kepada semua telko adalah sama. Oleh itu, syarkat telko hanya perlu menguruskan servis dan pemasaran sahaja tanpa perlu membangunkan sepenuhnya infrastruktur 5G.

Menurut DNB, sistem ini dilaksanakan bagi mengelakkan penduaan infrastruktur, mengoptimumkan penggunaan sumber sukar dan menggalakkan persaingan berasaskan perkhidmatan.

Sekarang, mari kita lihat tahap kelajuan 5G di 3 lokasi utama ini!

Putrajaya

Lokasi pertama yang kami cuba adalah di Presint 5, Universiti Heriot-Watt. Berdiri di hadapan universiti itu, kami telah mendapat kelajuan sebanyak 918mbps untuk muat turun dan 139mbps untuk muat. Memang menakjubkan.

Di hadapan Universiti Heriot-Watt, Putrajaya

Sepanjang perjalanan di Putrajaya, kami juga ada uji kelajuan dalam kereta dan rata-ratanya mendapat kelajuan dalam 400-500mbps (muat turun). Bagi kami, ia agak menarik kerana walaupun berada di atas jalan raya, kami masih boleh mendapatkan kelajuan yang memuaskan.

Di perkarangan Universiti Heriot-Watt, Putrajaya

Kami sempat singgah di Presint 2 untuk santapan tengah hari di McDonald. Sambil menunggu makanan sampai, kami terus lakukan ujian dan mendapati kelajuannya sebanyak 675mbps (muat turun) dan 72.3mbps (muat naik). Bagi kami, kelajuan di Presint 2 ini agak memuaskan walaupun tidak selaju di Presint 5.

Di hadapan McDonalds Presint 2, Putrajaya

Sebelum kami beralih ke lokasi seterusnya, kami sempat mendapatkan kelajuan sehingga 870mbps (muat turun) dan 60.8mbps (muat naik) di jalan lebuh sentosa berdekatan dengan Hospital Putrajaya. Kawasan yang kami lalu ini sebenarnya bersempadan dengan Cyberjaya.

Di Jalan Lebuh Sentosa berdekatan Hospital Putrajaya

Salah satu perkara yang kami kecewa ketika penggembaraan 5G di Putrajaya ini adalah kesukaran untuk mencari tiang 5G. Mungkin infrastruktur 5G yang dibina ini sangat baik dan spektrumnya diletakkan dalam tiang lampu yang kelihatan seperti lampu biasa sahaja.

Cyberjaya

Lokasi seterusnya merupakan bandar pintar iaitu Cyberjaya. Tempat pertama yang kami uji adalah di atas jalan raya antara DPULZE dan Universiti Multimedia. Di sini, kelajuan 5G agak memberangsangkan iaitu sebanyak 904mbps untuk muat turun.

Di Persiaran Semarak Api, Cyberjaya (Berdekatan dengan Universiti Multimedia)

Namun begitu, sejurusnya tibanya di DPULZE bersebelahan Cyberpark, kelajuan yang kami dapat agak rendah sekitar 391mbps. Kami pun tidak beberapa pasti mengapa kawasan DPULZE ini agak perlahan, mungkin kerana jauh dari tiang 5G.

Bersebelahan DPULZE, Cyberjaya

Di kawasan Cyberjaya ini, kelajuan tinggi boleh didapati di kawasan komersial yang lain seperti bangunan DELL, BMW dan sekitarnya dengan nilai mencecah dari 600mbps sehingga 900mbps. Manakala kawasan perumahan dan kodominum pula kelajuannya berlegar sekitar 300-500mbps.

Bagi lokasi terakhir di Cyberjaya, kami singgah di Tamarind Square di mana kelajuan di kawasan ini amat baik iaitu sekitar 400-600mbps (kawasan dalaman) dan 600-800mbps (kawasan luaran).

Tingkat atas di perkarangan luar Tamarind Square, Cyberjaya

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir bagi kembara 5G kami. Kami uji kelajuan di sekitar Cheras dan mendapat kelajuan dari 500mbps sehingga 600mbps dalam kenderaan di atas jalan raya.

Apa yang paling menarik adalah kami berjaya mendapatkan kelajuan tertinggi iaitu 1gbps di kawasan kedai-kedai sekitar Cheras. Di sana, kelihatan beberapa tiang 5G dan 4G yang terletak pada bumbung kedai. Disebabkan itu, kami berjaya mendapatkan kelajuan tertinggi berbanding kawasan Putrajaya dan Cyberjaya.

Kami juga sempat melakukan ujian di atas jalan raya iaitu Sungai Besi Expressway dan mendapati kelajuan 5G di sepanjang jalan ini juga agak baik. Beberapa ujian kelajuan dilakukan sehingga jari kami penat dan keputusannya sekitar 600mbps sehingga 800mbps.

Di Sungai Besi Expressway

Pengalaman Menggunakan 5G

Sekarang kita sembang pula mengenai pengalaman menggunakan 5G. Iya lah, takkan la kita nak sembang kelajuan je tapi tak cuba sekali kan? Untuk itu, kami telah buat beberapa ujian 5G dengan menonton Youtube, muat turun video bersaiz 1GB dan kelancaran rangkaian 4G – 5G (seamlessness).

Untuk ujian Youtube, kami cuba di Tamarind Square, Cyberjaya yang pada ketika itu mendapat kelajuan 5G sehingga 800mbps. Kami cuba menonton video youtube pada resolusi 4K HDR dan hasilnya memang mengujakan. Masa untuk ‘loading’ ambil masa kurang dari satu saat dan boleh langkau video tanpa ‘buffer’. Memang syok giler.

Cubaan pertama menggunakan resolusi 4K sewaktu menonton YouTube

Seterusnya, ujian muat turun video bersaiz 1GB ini dilaksakan di Cheras yang mempunyai kelajuan tertinggi iaitu 1gbps. Kami cuba muat turun video melalui Google Drive dan hasilnya mengambil masa lebih kurang 2 minit 37 saat.

Masa diambil untuk muat turun video sebesar 1GB

Akhir sekali, untuk kelancaran rangkaian pula, bermaksud dari rangkaian 4G ke 5G dan sebaliknya, kami dapati bahawa ianya lancar dan tidak lancar dalam masa yang sama. Apa yang dimaksudkan adalah, jika kita berada di kawasan 4G dan masuk ke 5G, telefon anda akan tukar ke rangkaian 5G dengan lancarnya.

Kendatipun begitu, jika anda berada di kawasan 5G dan masuk ke 4G, anda perlu buka mod kapal terbang (untuk reset rangkaian) dan barulah rangkaian ditukarkan ke 4G. Jika dibiarkan, anda akan mendapat kelajuan yang sangat perlahan dan sambungan yang tidak stabil.

Konklusi

Jadi, apa pandangan kami mengenai ujian rintis 5G di Malaysia ini? Sebenarnya, masih terlalu awal untuk buat kesimpulan mengenai teknologi 5G ini kerana Malaysia sekarang berada di tahap awal lagi. Menurut DNB, mereka mensasarkan sebanyak 40% liputan 5G akan tersedia di seluruh negara pada tahun 2022 dan liputas 70% pada tahun 2023.

Apa-apa pun, sepanjang penggunaan 5G di tiga kawasan utama ini, ia merupakan pengalaman yang baik bagi kami sebagai permulaan. Kelajuannya memuaskan, sambungnya agak stabil dan ketersediaan rangkaianya di tiga kawasan utama ini juga agak baik.

Diharapkan teknologi 5G ini dapat dibangunkan dengan lancar selari dengan penambahbaikan rangkaian 4G terutamanya di kawasan pedalaman yang jauh dari bandar.

Jika anda berminat nak cuba rangkaian 5G ni, boleh dapatkan di:

Kad Sim YES FT5G (Percuma) – [Shopee]

Xiaomi Mi 11T – [Shopee]

Reaksi anda terhadap artikel ini?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Zafrul Aiman
Zafrul Aiman
Meminati gajet terutamanya telefon pintar sejak bayi lagi. Lebih cenderung kepada jenama buah kerana sudah terperangkap dalam ekosistemnya. Melarikan Tech Lagi sejak 2017.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan