Kuasa Hibrid Baharu Geely Melalui Leishen Power

Geely Auto Group secara rasminya melancarkan Leishen Power, jenama rangkaian kuasa kecekapan tinggi pintar serta platform rangkaian kuasa hibrid modular bertaraf dunia yang dinamakan Leishen Hi-X.

Platform hibrid Leishen mengandungi teknologi terkemuka di peringkat global termasuk enjin kecekapan terma setinggi 43.32%, Transmisi Hibrid Terdedikasi (DHT) tiga kelajuan paling canggih di dunia, pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 40% dengan penarafan NEDC dan keupayaan naiktaraf FOTA (Firmware Over The Air).

Barisan enjin hibrid di bawah siri Hi-X.

Leishen HI-X

Produk utama Leishen Power ialah platform Leishen Hi-X. Platform ini menawarkan pengalaman kuasa hibrid serba baharu, bukan sahaja dari segi penjimatan bahan api tetapi juga peningkatan kuasa, keselesaan dan kecerdasan. Sebagai platform rangkaian kuasa hibrid pintar modular, Hi-X ialah sistem hibrid yang paling boleh disesuaikan dan dikembangkan dari segi ruang, tahap elektrifikasi dan pengagihan kuasa. Dibangunkan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan yang berbeza di seluruh dunia, Hi-X boleh digunakan untuk model segmen A hingga segmen C dan dalam konfigurasi HEV/PHEV/REEV untuk jenama dalam Geely Auto Group.

Kejuruteraan Generasi Baharu

DHE1.5(1.5TD) ialah enjin hibrid yang dibangunkan oleh sepasukan 500 orang jurutera merupakan enjin hibrid pertama dengan teknologi supercharger dan suntikan langsung. Enjin baharu ini menggunakan empat teknologi canggih termasuk suntikan langsung tekanan tinggi, supercharger, kitaran Miller dan EGR tekanan rendah untuk mencapai kecekapan terma tertinggi di dunia untuk enjin yang dihasilkan secara besar-besaran sebanyak 43.32%. Kecekapan haba yang ditunjukkan telah mencapai 52.5% dan menawarkan tork dan kuasa tertinggi dalam kelasnya.


Sistem transmisi DHT Pro tiga kelajuan ialah komponen teras platform Hi-X. DHT Pro akan menjadi transmisi hibrid tiga kelajuan besar-besaran pertama di dunia. Ia menyepadukan dua motor elektrik serta sistem kawalan dan pengagihan kuasa dalam pakej seberat hanya 120kg. Dengan penghasilan tork maksimum sebanyak 4920 Nm, DHT Pro mencapai nisbah tork kepada berat sebanyak 41 Nm/kg yang mengagumkan. Selain itu, transmisi DCT EVO yang berkecekapan tinggi juga telah dibangunkan dengan menggunakan transmisi 7DCTH milik Geely sebagai asas.


Motor E-Drive baharu telah dibangunkan mengikut piawaian prestasi mewah global menggunakan reka bentuk modular dan menawarkan penyelesaian berkecekapan tinggi, kebolehpercayaan tinggi dan boleh disesuaikan sepenuhnya. Leishen E-Drive mengguna pakai motor elektrik 800V, modul kuasa silikon karbida, kecekapan penyejukan minyak sebanyak 92% dan kuasa maksimum 475kW. Ditala untuk prestasi tinggi, motor E-Drive membolehkan kenderaan mencapai pecutan 0-100km/j dalam masa kurang 3 saat.

Dalam konfigurasi elektrik hibrid (HEV), Hi-X mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 40% dengan penarafan NEDC serendah 3.6L/100km. Sistem hibrid Hi-X menawarkan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan dengan penggunaan enjin dan transmisi canggih.

Model pertama yang bakal menggunakan platform Leishen Hi-X ialah model mercu Geely Auto yang merangkumi SUV coupé Xing Yue (Tugella) dan sedan Xing Rui (Preface). Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Geely Holding Group akan menawarkan pelbagai pilihan rangkaian kuasa elektrik termasuk HEV, PHEV jarak jauh dan EV jarak jauh.

Jadi, adakah Geely bakal menerapkan sistem kuasa moden ini dalam barisan model Proton yang akan datang? Dengan insentif yang tepat oleh kerajaan, kita pasti dapat melihat teknologi ini di jalan raya Malaysia tidak lama lagi.

Apa korang rasa?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Mengenai Penulis

Amirul Hakeem
Amirul Hakeem
Tertarik dengan jargon berkaitan teknologi seperti megapiksel, gigahertz & AMOLED. Meminati semua jenis teknologi daripada telefon pintar, peti sejuk pintar dan seangkatan dengannya. Merupakan kipas susah mati kumpulan K-Pop, TWICE.

Artikel Selanjutnya

Artikel Berkaitan