Sony meneruskan legasi Xperia dengan pelancaran Sony Xperia 1 III, peranti mercu Sony untuk tahun 2021. Menggunakan formula asas yang sama ditambah baik dengan pelbagai fitur baru, Sony mengetengahkan fungsi kamera, audio dan skrin yang disasarkan khas untuk pengguna-pengguna ekstrim, atau kita panggil “enthusiast user”.
Siri Xperia yang sebelum ni pun tak asing dengan inovasi baru, antaranya ialah yang pertama ada IP68 dan yang pertama guna skrin 4K pada smartphone. Jadi, adakah tawaran terbaru Sony ini berbaloi untuk dimiliki? Jom baca ulasan Sony Xperia 1 III.
Kualiti Binaan dan Rupa Fizikal
Biasanya, ramai yang suka telefon dengan skrin besar, tetapi ada sesetengah telefon itu terlalu besar sampai susah nak pegang dengan satu tangan, lagi-lagi untuk orang bertangan sederhana atau kecil. Tetapi itu bukan masalah untuk Xperia ini. Ya, skrinnya masih besar bersaiz 6.5-inci tapi peranti ni kurus dan senang dipegang berbanding peranti besar yang lain.
Aku menggunakan OnePlus 7T Pro sebagai peranti harian aku dan kalau nak dibandingkan dengan Sony, OnePlus ni lagi lebar dan jauh lagi berat, buatkan aku rasa tak selesa nak guna untuk masa yang lama.
Kualiti binaan Sony Xperia III ni memang padu. Peranti ini guna Gorilla Glass Victus pada bahagian depan dan Gorilla Glass 6 di belakang. Jadi secara teorinya, peranti ni tahan calar dan skrinnya tidak akan berkecai kalau jatuh pada ketinggian 2 meter.
Pada bahagian belakang Xperia ni guna kaca dengan kemasan matte. Ya betul, kemasan matte boleh kurangkan kesan cap jari tapi disebabkan kemasan ini lah menyebabkan peranti menjadi agak licin. Kalau nak selamat, disarankan guna kerangka telefon.
Pada belah kiri ada slot dwi-SIM dan Mikro SD, bahagian atas pula ada port audio 3.5mm! Semua butang ada pada belah kanan phone, butang volume, pengimbas cap jari yang sekali dengan butang kuasa, butang Google Assistant dan butang kamera dua tahap.
Pengimbas cap jari pada Xperia 1 ini pantas, tetapi isu dengan posisi pengimbas cap jari ni adalah aku kerap kali tersentuh sensor itu secara tidak sengaja jadi aku terpaksa tunggu selama 30 saat sebelum boleh guna pengimbas cap jari tu semula. Peranti ini juga ada penarafan IP68 jadi tak perlu risau kalau guna peranti ini dalam hujan atau nak bawak pergi Sunway Lagoon.
Skrin
Xperia 1 III ialah peranti pertama yang menggunakan panel OLED resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz. Tadi aku ada bagitahu yang phone ni senang dipegang. Sebab utama aku cakap macam tu ialah penggunaan skrin nisbah 21:9. Ada sebab mengapa Sony guna nisbah yang janggal ni. Filem yang ditonton di wayang itu sebenarnya dirakam menggunakan format 21:9. Jadi tidak akan ada kotak hitam bila korang tonton filem menggunakan peranti ni.
Lagi satu benda syok guna skrin tinggi ni adalah korang dapat tengok lagi banyak kandungan berbanding skrin peranti lain. Maksud aku, lagi banyak informasi boleh dipaparkan pada skrin. Kualiti panel OLED pada Xperia 1 III ini memang bagus.
Dari segi ketepatan warna, contrast ratio serba-serbi baik tapi aku rasa panel OLED ni tak cukup cerah kalau guna bawah matahari. Kecerahan maksimum panel OLED Xperia 1 ni hanya 627 nits, kurang berbanding pencabar lain macam Galaxy S21 Ultra dan iPhone 12 Pro Max. Scrolling takde masalah, smooth je dengan refresh rate 120Hz. Aku suka resolusi 4K dekat phone ni dan aku boleh bagi kredit dekat Sony sebab mereka gunakan teknologi 4K dekat peranti flagship Xperia.
Tapi Sony patutnya kena bagi pilihan untuk rendahkan resolusi kepada 2K ataupun Full HD untuk jimatkan bateri. Betul, phone ni dicipta untuk enthusiast, tapi enthusiast pun mesti tahu kepentingan tukar resolusi skrin untuk jimat bateri kan? Oh ya, phone ni juga ada Creator Mode yang mana korang boleh tengok filem sebijik seperti director tu edit dengan gamut warna BT2020.
Sistem Operasi
Terus daripada kotak, Xperia 1 III guna Android 11 dengan skin yang tak lari jauh dari stock Android. Bagi aku, aku kurang suka dengan stock Android sebab tak banyak fitur tambahan tapi ini subjektif sebab ada orang suka peranti yang clean macam stock Android. Sony masih bagi beberapa fitur unik dekat peranti ni.
Antara fitur tambahan yang Sony bagi ialah SideSense yang mana korang boleh akses aplikasi dengan mudah, hanya tekan je butang pada bahagian tepi skrin. Fungsi Side Sense memudahkan multitasking pada Xperia 1 ni. Skrin panjang pada phone ni memang sesuai untuk multitask.
Fitur lain yang Sony bagi ialah Dynamic Vibration yang mana peranti ini akan vibrate ikut irama lagu. Dynamic Vibration ni berfungsi dengan agak baik tapi bagi aku, ia lebih kepada gimik jadi aku tak guna sangat fitur tu. Sony juga letakkan fungsi game enhancer yang mana korang boleh pergi ke menu game enhancer untuk akses screen recording.
Sepanjang penggunaan aku, ada beberapa isu yang aku nampak pada sistem operasi Xperia ni. Pertama sekali, aku nak tegaskan bahawa unit yang aku dapat ni tiada masalah auto rotate macam MKBHD. Isu pertama ialah masalah pepijat pada aplikasi galeri, gambar yang aku tangkap layar tiada dalam galeri, perlu restart peranti baru gambar muncul kembali. Memandangkan Sony menggunakan galeri Google Photos, kemungkinan besar pepijat itu datang dari Google dan bukan Sony.
Masalah kedua ialah peranti ni mudah untuk jadi suam walaupun buat benda biasa macam tengok media sosial dan tengok Youtube dan ada sekali tu, peranti ini jadi terlampau panas masa menggunakan Telegram dan Twitter Spaces, panasnya tu macam tak normal. Bila panas melampau, peranti pun akan lag. Diharapkan agar Sony dapat selesaikan masalah ni pada kemaskini akan datang.
Prestasi
Prestasi Sony Xperia 1 mark iii ni sangat bagus. Cip Snapdragon 888, RAM 12GB, storan 256GB semuanya membuatkan pengalaman menggunakan peranti ni sangat lancar.
Dengan penggunaan komponen dan spesifikasi premium, aplikasi dapat dibuka dengan pantas, game load dengan laju dan gameplay sangat lancar, pemindahan data bersaiz besar pula ambil masa yang sekejap sahaja.
Namun begitu, apabila guna aplikasi berat seperti kamera untuk masa yang lama, phone ni akan menjadi panas dan akan bagi kesan kepada kelancaran peranti. Prestasi bukan persoalan, tapi sejauh mana phone ni boleh kekalkan kelancaran, itu agak meragukan.
Kamera
Kamera pada Xperia 1 III ialah antara titik jualan utama peranti ini. Sony mempunyai reputasi yang perlu dijaga kerana kamera pada Xperia 1 III ini dibangunkan bersama jurutera kamera Alpha dan seperti yang diketahui, Sony Alpha ini antara pembuat kamera mirrorless terbaik di dunia.
Xperia 1 III menggunakan 3 sensor 12 megapiksel pada lensa utama, lensa ultra-lebar dan lensa telefoto. Apa yang menarik ialah modul kamera telefoto peranti ini mempunyai elemen yang boleh mengubah focal length secara mekanikal yang mana lensa dalam phone ni akan bergerak ke depan atau ke belakang untuk ubah jarak zum. Jadi korang dapat dua jarak zum iaitu 70mm dan 105mm dalam satu lensa.
Sony juga sediakan kawalan kamera manual yang menyeluruh untuk digunakan dengan lensa-lensa tadi. Untuk Xperia 1 III, Sony gabungkan kamera asas dan kamera manual dalam satu aplikasi yang dipanggil Photo Pro. Korang boleh pilih pelbagai mod bermula daripada mod Basic, Program Auto, Shutter Speed Priority dan beberapa mod lain macam yang korang biasa jumpa pada kamera mirrorless dan DSLR.
Antaramuka pengguna dan UI kawalan manual pada kamera phone ni diinspirasikan oleh kamera Alpha. Korang boleh kawal fokus, white balance, metering, shutter speed, dan banyak lagi. Aku tak pernah jumpa kawalan kamera manual selengkap ni pada telefon pintar.
Kualiti Gambar
Dalam pencahayaan yang baik, kualiti gambar yang dihasilkan ini agak baik tapi tak sempurna. Gambar yang dihasilkan cukup tajam untuk sensor 12MP. Warna yang dihasilkan pula natural dengan pemprosesan yang minimum. Dynamic range secara keseluruhannya sangat baik dan tidak kelihatan seperti terlebih proses.
Sony juga berjaya kurangkan perbezaan warna dekat semua lensa, jadi gambar yang diambil dari semua lens ini konsisten. Cumanya, gambar yang dihasilkan melalui zum 105mm tak setajam lensa yang lain.
Untuk situasi cahaya kurang pula, aku berpuas hati dengan gambar yang dihasilkan oleh lensa utama dan ulta-lebar. Sony tidak sertakan fungsi Night Mode pada peranti ini dan bergantung sepenuhnya pada HDR. Hasil warna HDR pada lensa utama dan ultra-lebar nampak natural walaupun pada waktu malam.
Kelemahan utama peranti ini bila korang gunakan lensa telefoto pada waktu malam. Ia kelihatan sedikit gelap dan tidak tajam.
Audio
Sony ni sebuah syarikat yang seba boleh. Mereka mempunyai bahagian pembangunan kamera, video dan audio. Untuk Xperia 1 III, Sony berkerjasama dengan Sony Music dan Sony Pictures untuk bangunkan ciri-ciri audio peranti ini. Sony mengatakan bahawa pembesar suara stereo pada Xperia 1 III ini 40% lagi kuat berbanding model generasi sebelumnya.
Kelantangan bunyi pembesar suara Sony ni kuat tetapi tidaklah sekuat pembesar suara OnePlus aku. Pembesar suara Sony Xperia 1 ini berkualiti, dan tak pecah pada volume maksimum cuma bunyi bassnya tak terlalu ketara.
Aku gemar akan kesan stereo pada pembesar suara peranti ini kerana kedua-duanya simetri, sama kuat kiri dan kanan. Ada satu fitur audio yang aku rasa sangat berharga dekat peranti Sony ini iaitu audio jack. Ye lah, zaman sekarang, susah nak dapatkan peranti andalan yang dilengkapi audio jack.
Audio jack yang Sony gunakan sangat berkualiti. Bunyi yang dihasilkan jelas dan boleh dengar pada kelantangan maksimum tanpa distortion. Fon kepala low power macam AudioTechnica M40x yang aku ada ini tiada masalah untuk digunakan dengan Xperia 1.
Namun jika korang jenis yang high impedance, korang boleh sambungkan phone ni ke external amplifier. Xperia 1 juga menyokong audio bluetooth yang berkualiti dengan penggunaan codec Hi-Res LDAC, memang sesuai sangat lah untuk pengguna fon kepala Sony.
Bateri dan Pengecasan
Ketahanan bateri pada Sony Xperia 1 ini boleh dikatakan bagus, tapi bukanlah yang terbaik.
Dalam penggunaan aku, bateri bersaiz 4,500mah ni cukup untuk dapatkan screen on time selama 5 ke 5 jam setengah. Penggunaan aku sederhana sahaja, banyak tengok video dan media sosial, tapi kalau korang yang jenis main game, mungkin korang akan dapat screen on time dalam 3 ke 4 jam.
Yang tak syoknya, Sony tidak beri pilihan untuk rendahkan resolusi skrin untuk kurangkan penggunaan bateri. Tidak mengapa, jika bateri dah habis, korang boleh cas guna pengecas 30 Watt yang disertakan dalam kotak.
Dalam ujian aku, Xperia 1 ni ambil masa sekitar 1 jam 30 minit untuk cas dari 5-100%. Tapi kalau aku guna peranti ini sewaktu cas, masa untuk penuh itu akan terkesan sedikit. Peranti ini juga ada wireless charging dengan reverse wireless charging untuk korang cas gajet lain. Tapi kelajuan pengecasan tu tak lah sepantas pengecasan berwayar.
Konklusi
Sony menyasarkan peranti ini kepada pengguna yang sangat spesifik. Pengguna yang betul-betul tahu apa yang mereka inginkan dari sesebuah telefon pintar, lagi-lagi dengan tanda harga sebanyak RM5799 yang mana bukanlah harga yang murah.
Adakah Sony Xperia 1 III ini untuk anda? Senang cerita, jika anda seorang pengguna yang menitikberatkan skrin beresolusi 4K dengan nisbah 21:9, kamera dengan kawalan manual yang lengkap seperti DSLR dan ada audio jack yang berkualiti dengan teknologi bluetooth serta mempunyai banyak wang, Sony Xperia 1 III ini sesuai untuk anda.
Saksikan video ulasan penuh kami di YouTube
Jika anda tergolong dalam golongan “enthusiast”, dapatkan Sony Xperia 1 III di [Lazada] dan [Laman Rasmi Sony].
Ulasan ini dilaksanakan oleh Amirul Hakeem dan diolah semula ke artikel oleh Zafrul Aiman.