Bagi yang tidak pernah mengetahui jenama ini, Illegear merupakan komputer riba jenama tempatan yang ditubuhkan pada tahun 2011. Sehingga ke tahun ini, Illegear mempunyai 2 cawangan yang terletak di Damansara dan Johor Bahru. Illegear banyak menjual barangan elektronik seperti laptop, desktop, aksesori komputer dan sebagainya.
Berbalik kepada ulasan, model Raven SE merupakan model komputer riba kategori permulaan bagi jenama Illegear. Harganya bermula pada RM3199 bagi spesifikasi terendah. Ini ialah spesifikasi unit yang dibeli beserta harga.
Ini pula perbandingan Raven SE dengan komputer riba jenama pesaing dengan spesifikasi dan harga yang hampir sama. Harga mungkin sedikit berbeza.
Ulasan Illegear Raven SE
Port
Laptop ini mempunyai pelbagai jenis port. Yang menariknya, kebanyakan port diletakkan di bahagian belakang laptop. Jadi, wayar taklah bersepah dan tak mengganggu keselesaan anda. Golongan jurugambar dan juruvideo pasti menghargai slot kad SD pada Raven SE.
Kemudahalihan
Ukuran fizikal bagi laptop ini ialah 359.8mm (panjang) x 244.3mm (lebar) x 20mm (tebal). Beratnya pula sekitar 1.95kg, bermakna Raven SE sangat kompak dan tidak terlalu berat. Namun, pengecasnya pula terlalu besar seperti batu bata tetapi masih mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Rekaan
Raven SE mempunyai rekaan yang minimal. Tiada unsur-unsur garang seperti komputer riba gaming yang lain. Namun, ia masih kelihatan macho dengan kemasan hitam matte. Walaupun menggunakan plastik, binaannya terasa kukuh dan tegap.
Skrin
Ya! Bahagian ini yang paling disuka. Skrin bingkai nipis membuatkan laptop ini nampak moden. Skrin bingkai nipis pada Raven SE juga secara tak langsung membuatkan laptop ini lebih kompak berbanding komputer riba sebelum ini.
Bercakap mengenai spesifikasi pula, paparan yang hadir pada Raven SE ini ialah paparan Full HD IPS, kadar segar semula 60Hz dan ketepatan warna sRGB 92%. Ia sesuai digunakan untuk kerja yang perlukan ketepatan warna. Illegear turut menyediakan pilihan skrin 144Hz dan sRGB 100%. Ada duit lebih, sila lah.
Papan Kekunci
Puaskan hati anda terhadap lampu RGB pada papan kekunci Raven SE. Menggunakan perisian Illegear Command Centre, anda boleh menukar warna serta mod yang berlainan pada lampu RGB. Ia juga mempunyai empat tahap kecerahan.
Dari segi kepuasan menaip, dapat dirasakan bahawa keyboard Raven SE bukanlah yang terbaik. Bahagian keliling kekunci terasa kurang stabil semasa ditekan. Papan kekcunci SteelSeries pada MSI dan papan kekunci Acer Predator terasa lebih stabil.
Pad Sesentuh (Touchpad)
Pad sesentuh pada Raven SE sangat responsif, dan kadang-kadang terlalu responsif. Ia menggunakan perisian Windows Precision yang menjadikan pad sesentuh ini lancar. Fungsi gesture Windows 10 juga lancar dan responsif. Untuk nyahaktifkan pad sesentuh, tekan dua kali pada bahagian atas kiri.
Pembesar Suara
Raven SE mempunyai dua pembesar suara 2watt dengan teknologi Sound Blaster Cinema 5. Ia mempunyai kelantangan yang baik dan kualiti bunyinya cukup untuk pengalaman audio yang memuaskan. Perisian Sound Blaster Connect disediakan untuk tetapan bunyi.
Prestasi
CPU Intel i7 yang digunakan adalah CPU laptop yang terbaik buat masa ini. Untuk tugasan kerja sepatutnya tiada masalah bagi CPU ini. Ia juga lebih daripada cukup untuk gaming.
Kad grafik GTX 1650 merupakan kad grafik kategori pertengahan. Ujian telah dibuat dengan permainan seperti GTA V, FIFA 19 dan Watch Dogs 2. Permainan mencecah 60fps pada tetapan tinggi. Bagi permainan e-sukan seperti Dota 2, CS:GO, Overwatch dan lain-lain tidak menjadi masalah buat GPU ini.
Sistem Penyejukan
Raven SE mempunyai dua kipas pada bahagian belakang. Dua mod penggunaan disediakan iaitu Office Mode dan Gaming Mode yang mana Office Mode akan meminimumkan bunyi kipas manakala Gaming Mode akan menggunkaan kuasa kipas maksimum.
Kipas akan berpusing pada kelajuan tinggi secara automatik ketika anda melakukan kerja atau gaming. Anda boleh mengawal tetapan kipas secara manual pada perisian Illegear Command Centre.
Terdapat fungsi Fan Boost pada Command Centre yang akan memberikan pusingan kipas maksimum dalam kadar segera. Penurunan suhu tidaklah terlalu ketara, hanya sekitar 2-3°C berbanding tetapan default. Bunyi Fan Boost boleh tahan bising.
Bateri
Illegear menyediakan dua pilihan bateri bersaiz 47Wh dan 63Wh. Anda boleh menaik taraf kepada bateri berkapasiti lebih besar dengan tambahan RM199. Namun anda terpaksa korbankan slot hard drive 2.5″. Kalau anda nak naik taraf pada masa akan datang, perlu bayar RM400.
Ketahanan bateri Raven SE (47Wh) biasa sahaja. Dengan penggunaan biasa seperti melayari laman web dan menggunakan Adobe Illustrator, Raven SE bertahan selama 3-4 jam. Untuk kerja berat seperti gaming, disarankan pasang pengecas supaya anda dapat kuasa yang cukup.
Naik Taraf
Untuk menaik taraf komponen dalaman Raven SE, prosesnya mudah. Longgarkan 11 skru menggunakan pemutar skru Philips dan anda akan mendapat akses kepada dua slot RAM, dua slot SSD NVME dan satu slot hard drive 2.5″.
Waranti
Waranti asas yang diberi adalah selama 2 tahun dan bantuan teknikal sepanjang hayat. Anda juga mempunyai pilihan waranti yang lain mengikut kehendak anda.
Khidmat Pelanggan
Memandangkan Illegear merupakan jenama yang masih kecil berbanding pencabarnya, pelanggan mempunyai sedikit kelebihan. Anda boleh berurusan terus melalui WhatsApp dan setakat ni, servis mereka sangat memuaskan.
Kesimpulannya, Raven SE merupakan laptop gaming yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Harganya yang murah berbanding jenama terkemuka ditambah dengan spesifikasi yang lebih baik menjadikan Raven SE pilihan yang sempurna untuk laptop gaming kategori permulaan.
Jika anda berminat untuk mengetahui komputer riba Illegear dengan lebih lanjut bolehlah singgah ke showroom Illegear di Damansara jika berkesempatan. Dapatlah anda merasa sendiri kualiti jenama Malaysia ini.
Penafian: Tech Lagi tidak ditaja oleh mana-mana syarikat dalam membuat ulasan Illegear Raven SE ini. Ulasan ini dibuat berdasarkan pendapat dan pengalaman dari Pihak Tech Lagi sendiri.