Saat yang penuh gilang-gemilang untuk Subaru, jenama yang sinonim dalam penghasilan kereta rali. Subaru menjejakkan kaki ke dalam pasaran EV dengan pelancaran Subaru Solterra, EV pertama syarikat tersebut. Pelancaran Solterra diadakan di Jepun, lebih awal berbanding pelancaran global yang bakal mengambil tempat di Los Angeles Auto Show 17 November ini.
Subaru Solterra merupakan SUV elektrik hasil daripada pembangunan kerjasama antara Toyota-Subaru menggunakan platform BEV yang dinamakan e-Subaru Global Platform. Toyota juga baru-baru ini telah menghasilkan SUV elektrik, Toyota bZ4X baru-baru ini. Ini tidak mengejutkan kerana jalinan Toyota-Subaru juga telah dilihat pada kereta sukan Toyota GT86/Subaru BRZ pada 2012.
Baiklah, ini bahagian yang ditunggu-tunggu. Subaru Solterra mempunyai pilihan pacuan roda hadapan (FWD) dan AWD, kedua-duanya mempunyai kapasiti bateri sebanyak 71.4kWh. Bateri pada SUV crossover ini mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 530km untuk model FWD dan 460km bagi model AWD mengikut piawai WLTC. Subaru Solterra menyokong pengecasan arus terus (DC) pantas maksimum 150kW namun masa pengecasan tidak didedahkan. Oh ya, Subaru juga menyediakan pilihan bumbung solar untuk SUV ini.
Subaru Solterra dikuasakan oleh dua motor elektrik berbeza mengikut sistem pacuan. Untuk model FWD, Subaru mempertaruhkan sebuah motor elektrik dengan penghasilan kuasa sebanyak 201 hp. Untuk model AWD pula, dua buah motor elktrik digunakan, satu pada setiap gandar. Model AWD mendapat dua motor elektrik yang setiap satunya menghasilkan kuasa sebanyak 107 hp untuk jumlah kuasa 214 hp.
Subaru Solterra boleh mula dibeli pada pertengahan tahun hadapan.